Wednesday, March 3, 2010

Pengenalan

Peribadi Mulia adalah sebuah rumah kebajikan yang telah dibuka pada 29/12/2009 dibawah pendaftaran 001900508 – M, yang berpusat di alamat No. 2, Jalan Prima Saujana 1/4D, Kajang, Selangor, Darul Ehsan. Peribadi Mulia mendidik dan mengasuh 11 remaja lelaki dan 11 anak perempuan sekolah rendah, 30 orang anak kelas mengaji Al-Quran dan 9 orang anak asuhan.

PENUBUHAN

Ditubuhkan oleh beberapa orang wanita sebagai penggerak utamanya. Dengan berbekalkan semangat dan cita-cita untuk berkhidmat kepada masyarakat khususnya kepada anak-anak bangsa, agama, dan negara.

Di antara punca keresahan masyarakat adalah generasi muda yang semakin rosak dengan berbagai gejala sosial. Ibu bapa terlalu sibuk mencari rezeki hingga tidak sempat memberi perhatian kepada anak-anak. Akibatnya anak-anak itu selain miskin harta, mereka juga menjadi miskin kasih sayang, miskin ilmu dan miskin iman. Adalah malang bagi satu bangsa kalau ada kanak-kanak yatim atau fakir miskin, terbiar walhal otaknya genius. Bahkan ramai juga anak orang kaya harta yang kurang kasih sayang, ilmu dan iman. Bila dewasa, dia hanya jadi penganggur atau buruh kasar. Lebih malang lagi kalau dia menjadi penagih dadah atau penjenayah. Itu adalah satu kerugian besar sedangkan dia ada­lah aset agama, bangsa dan Negara. Oleh itu semua pihak wajib membanteras kemiskinan ini secara keseluruhan. Kita wajib bekerjasama menyumbang harta, ilmu, tenaga dan kepakaran untuk menjayakan usaha mulia ini.

Atas keprihatinan ini maka tertubuhlah rumah amal ini. Pembinaan insan menjadi teras utamanya agar lahir generasi yang seimbang antara jasad, akal, nafsu dan rohnya. Dengan itu mereka dapat menjadi anggota masyarakat yang berwibawa untuk generasi masa hadapan.

JUSTIFIKASI Peribadi Mulia

Peribadi membawa maksud jati diri manusia atau insan. Maha Besar dan Maha Suci Tuhan yang menjadikan di dalam diri manusia ada empat anasir yang berfungsi dan berperanan, yakni jasad, roh, nafsu dan akal. Ini merupakan satu pakej kejadian manusia yang luar biasa dan berperanan. Tugas roh hanya merasa seperti marah, suka, takut, cemas, sedih, cinta, benci dan sebagainya. Tugas nafsu hanya merangsang dan berkehendak, sama ada baik atau jahat. Akal hanya memikir, mengkaji, mencari ilmu, menerima maklumat dan pengalaman, kemudian menilai, menapis, menyimpan dan mengeluarkan. Tugas jasad adalah melaksanakan apa yang dikehendaki oleh roh. Inilah kerajaan diri atau peribadi manusia. Hati atau roh adalah raja diri, akal penasihat, nafsu penjahat dan jasad adalah rakyat jelata.

Kalau Keempat-empat anasir di dalam diri manusia bekerjasama satu sama lain jika ia hendak bertindak, sama ada tindakannya itu baik mahupun jahat. Mula-mula hati atau roh (raja diri) merasa. Kemudian rasa itu dihantar kepada nafsu, maka nafsu pun berkehendak atau merangsang untuk mahu bertindak. Selepas itu ia hantar pula kepada akal bagaimana hendak melaksanakan, maka akal pula yang memikirkan. Sesudah ada keputusan dari akal bagaimana cara bertindak, maka roh arahkan seluruh anggota bertindak, untuk mendapatkannya. Jika Tuhan kehendaki berjaya, maka berjayalah, jika Tuhan tidak mengkehendaki, maka gagallah.

Mulia atau baik atau berkualiti tinggi. Kalau semua anasir manusia itu sihat dan sama-sama dewasa dan matang, maka manusia itu luar biasa. Sikap dan tindakannya sentiasa baik dan mulia, peranannya sangat mengkagumkan. Beruntunglah kalau ada rakyat begitu, bukan sahaja individunya beruntung tapi bangsa, Negara dan agama juga beruntung.

Anak-anak adalah amanah Tuhan yang wajib dijaga dan dididik dengan baik. Maka sesiapa yang mengasihi dan membela mereka mendapat ganjaran dan keberkatan besar disisi Allah dan Rasul. Semoga anak-anak ini disayangi oleh setiap lapisan masyarakat yang prihatin terhadap aset bangsa, Negara dan agama ini. Mereka perlu dididik dan diberi perhatian sebagai anak angkat dengan diberikan kasih sayang dan pembelaan agar berjaya menjadi peribadi mulia.

PENGAMBILAN ANAK-ANAK Peribadi Mulia

Terdiri anak-anak dari anak yatim, fakir miskin dan anak-anak yang dihantar khas oleh orang tuanya untuk mendapat didikan agama yang baik. Mereka ada yang tinggal tetap di asrama mahupun yang mendapat khidmat jagaan, asuhan dan pendidikan secara harian dengan percuma atau dengan kadar yuran sekadar kemampuan ibu bapa masing-masing.

OBJEKTIF Peribadi Mulia

1. Membanteras kemiskinan secara keseluruhan: miskin iman, miskin ilmu dan miskin harta.

2. Membela anak-anak yang kurang bernasib baik serta memberi kasih sayang.

3. Mengenalkan mereka kepada Tuhan dan Rasul sehingga mereka cinta dan takut hanya untuk Allah dan Rasul.

4. Membimbing mereka dengan perkara-perkara asas iaitu fardhu ain dan fardhu kifayah seperti menjahit, pertanian, kebudayaan, ekonomi, motivator, dan lain-lain.

5. Melahirkan anak-anak yang boleh berdikari dan menampung kehidupannya di masa akan datang.

MATLAMAT Peribadi Mulia

Peribadi Mulia bermatlamat tinggi untuk melahirkan masyarakat yang berkasih sayang dan aman harmoni, yang mengutamakan kepentingan orang lain berbanding diri sendiri, yang di dalamnya terjalin hubungan rapat antara golongan kaya dan miskin iaitu dengan menjadikan kebajikan sebagai satu agenda utama masyarakat untuk mencapai tahap hidup yang bahagia di dunia dan di akhirat. Kaya dan miskin adalah kasih sayang Tuhan agar manusia bekerjasama untuk keharmonian. Si kaya perlukan si miskin untuk akhiratnya, si miskin perlukan si kaya untuk dunianya. Si kaya memberi dengan ikhlas, si miskin menerima dengan syukur.

Selain itu, antara matlamat lain adalah untuk melahirkan anak-anak di bawah jagaan Peribadi Mulia ini berjaya disegi pembangunan rohaniahnya dan pembangunan material di samping menjadi seorang manusia yang berguna di masa depan. Ilmu dan pelajaran yang diikuti oleh mereka, juga latihan-latihan yang diberikan akan dimanfaatkan sebaik mungkin dan akhirnya menjadikan mereka seorang yang pandai berdikari dan mempunyai jati diri yang kuat dalam menempuh dugaan dan cabaran hidup.

Saturday, February 13, 2010

Selamat Datang

Selamat Datang ke blog Rumah Amal Peribadi Mulia.